suria

DBKL Nafi Berat Sebelah

Mohd Amin Nordin Abd Aziz

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya mereka bertindak kasar dan hanya mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga bumiputera di ibu kota.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata tindakan undang-undang tetap dikenakan terhadap peniaga yang didapati menyalahi peraturan tanpa mengira kaum dan agama.

"Tiada tindakan berat sebelah...para peniaga perlu mematuhi peraturan dan tempat berniaga yang dibenarkan. Jika ingkar kita akan mengambil tindakan untuk menyita dan mengalih barangan tersebut," katanya.

Mohd Amin Nordin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Karnival Seni Pendidikan Pencegahan Jenayah Dadah (PPDa) peringkat Negeri Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sini, Sabtu.

Mengulas mengenai sebuah video berdurasi 2 minit 52 saat yang memaparkan gelagat menyerupai seorang pegawai penguat kuasa DBKL yang mengasari seorang peniaga tanpa lesen di Taman Tasik Permaisuri, minggu lepas, beliau berkata kejadian itu tidak melibatkan anggotanya.

Beliau berkata pihaknya telah membuat laporan polis terhadap video yang disebarkan menerusi laman sosial itu yang dilihat bertujuan memburuk-burukkan imej DBKL.

DBKL, Peniaga Bumiputera

Artikel Lain