suria

10 Exco Selangor Angkat Sumpah

KLANG: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor pada Jumaat mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri yang baharu di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada pukul 4.30 petang Jumaat.

Mereka merupakan barisan Exco yang dilantik dibawah pentadbiran Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali.

Sepuluh exco yang mengangkat sumpah terdiri daripada empat wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Daroyah Alwi (Sementa), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) dan Amiruddin Shari (Batu Caves), manakala DAP diwakili oleh Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) serta V. Ganabatirau (Kota Alam Shah).

Exco PAS pula diwakili oleh Iskandar Samad (Cempaka), Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Zaidy Abdul Talib (Taman Templer).

Dengan pelantikan 10 Exco itu, keistimewaan PAS yang mendominasi empat kerusi juga telah berakhir kerana PKR melantik empat wakil rakyatnya ke jawatan tersebut.

Ia kini terbahagi kepada tiga PAS, DAP (3) dan PKR (4) walaupun PAS berjaya mendominasi kerusi DUN di Selangor.

Terdahulu, Azmin pada sidang media di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pagi Jumaat berkata, senarai Exco baharu itu telah diteliti dan mengambil kira semua pandangan dari pimpinan Pakatan Rakyat.

"Sultan Selangor telah memperkenankan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa hari ini, 26 September 2014," kata Azmin.

Beliau bagaimanapun berkata, portfolio bagi 10 exco baharu itu akan dibincangkan kemudian pada hujung minggu ini.

Selangor, Exco, PAS, DAP, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain