suria

Sallehen Mukhyi Nafi Dilantik MB Selangor

Sallehen Mukhyi

BATU PAHAT: Exco Negeri Selangor Sallehen Mukhyi menafikan beliau menjadi pilihan Istana Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sallehen, yang juga Timbalan Pesuruhjaya (1) PAS Selangor, dikerumuni wartawan sebaik sahaja selesai berucap membahaskan ucapan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar PAS ke-60 di Parit Raja, Khamis.

"Bukan, bukan (saya). Kita tidak tahu lagi (nama Menteri Besar Selangor yang baharu). Saya tidak ada maklumat lagi. Isnin pagi atau Selasa akan dimaklumkan. Yang pasti bukan saya," katanya.

Selain beliau, turut dinamakan sebagai calon pilihan PAS untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar ialah Dr Ahmad Yunus Hairi dan Iskandar Abdul Samad, kedua-duanya exco negeri.

Iskandar juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada Khamis mengesahkan majlis angkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baru, bakal diadakan Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang.

Kenyataan daripada Istana Selangor itu bakal menandakan berakhirnya krisis berpanjangan jawatan Menteri Besar Selangor.

Sallehen juga berkata pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu diharap menjadi jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi kemelut jawatan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

"Kita berharap ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik, sebab kita tiada forum atau ruang yang terbaik kecuali rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat terima pilihan Istana (Selangor)," katanya.

Sallehen Mukhyi, PAS

Artikel Lain