suria

Cabaran Cipta Aplikasi Mudah Alih Dalam Masa 24 Jam Bermula

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat ruang pameran KL Converge di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, Rabu. 
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri). Acara tiga hari itu dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hampir 200 peserta Hari Pembangun Malaysia 2014, yang dibahagikan kepada tiga atau empat orang bagi satu kumpulan, mula memerah otak masing-masing bagi menghasilkan aplikasi mudah alih terbaik yang mampu menawan hati para hakim pada Khamis.

Mereka perlu melakukannya dalam tempoh 24 jam dan mempunyai masa sehingga pukul 2.00 petang Khamis.

Kumpulan yang berjaya menghasilkan aplikasi terbaik berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan bernilai lebih AS$15,000 (RM47,958) termasuk 12 biasiswa untuk latihan perisian dalam talian bagi memperkasa generasi pencipta inovasi di rantau ini.

Bertemakan 'Membina Sebuah Ekosistem Digital', peserta bersaing dalam tiga kategori iaitu Aplikasi Terbaik Untuk Pembabitan Komuniti, Aplikasi Terbaik Untuk Bandaraya Pintar dan Aplikasi Terbaik Untuk Pengkomersilan.

Sebaik cabaran bermula, pemikiran kreatif peserta boleh dilihat daripada perbincangan mereka yang semakin hangat seperti kumpulan dari University Nottingham Malaysia, yang terletak di Semenyih, Selangor.

Pelajar terbabit - warga Malaysia Ahmad Firdani Azim, Ahmad Allauddeen Mostafa dan seorang warga India Sharshad Kara Kuni sangat berminat untuk membangunkan satu aplikasi mudah alih bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Kami ingin mencipta satu aplikasi yang dinamakan 'Drop A Buck' bagi membolehkan orang ramai dan mereka yang memerlukan menggunakannya bagi tujuan amal. Ini akan membolehkan mereka yang memerlukan bantuan mengetengahkan kesulitan mereka secara dalam talian dan orang lain boleh tampil menghulurkan bantuan," kata Ahmad Firdani.

Pemenang bagi setiap kategori berpeluang membentangkan aplikasi mereka pada Jamuan Malam Gala KL Converge pada Jumaat bagi merebut hadiah utama AS$10,000.

Acara anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama AT&T Amerika Syarikat dua tahun berturut-turut, cabaran kali ini ialah membangunkan satu aplikasi mudah alih yang berfungsi sepenuhnya bermula daripada sifar.

Dalam kenyataan pada permulaan pertandingan ini, Duta Besar AS ke Malaysia, Joseph Y.Yun menarik perhatian bahawa pembangun aplikasi mudah alih mempunyai pengaruh yang besar terhadap kehidupan orang ramai.

"Mereka mempunyai pengaruh yang besar tentang bagaimana kita bekerja dan bersantai selain mendapat manfaat (kewangan) daripada ciptaan mereka," katanya.

Pengarah Eksekutif AT&T Jake E. Jennings pula berpendapat pertandingan itu lebih menarik tahun ini dengan penyertaan pembangun aplikasi di peringkat antarabangsa.

"Pertandingan ini bukan sekadar mencipta satu aplikasi sebaliknya ia adalah berkaitan mempelajari pengalaman baharu, membabitkan diri dengan pembangun aplikasi, berkongsi pengetahuan dan pengurusan masa," katanya kepada Bernama.

Setiap pasukan dikehendaki mengenal pasti satu isu dan mencari penyelesaian dengan mencipta satu aplikasi, katanya. 

Para hakim akan menilai produk peserta berdasarkan tiga kriteria iaitu keaslian, aspek teknikal dan kemahiran pembentangan.

KL Converge

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain