suria

Kaji Semula Kerjasama PAS Dengan DAP, PKR - Haron Din

KULAI JAYA: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din memberi kiasan bahawa tahaluf siyasi (kerjasama politik) parti itu dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat bukan suatu ketetapan tetapi boleh dikaji semula dan 'diceraikan' seperti sebuah perkahwinan.

Ulamak tersohor itu berkata, tahaluf siyasi sama seperti sebuah perkahwinan yang mempunyai ruang penceraian oleh Islam sekiranya syarat dan rukunnya dilanggari.

"Contohnya dalam perkahwinan, walupun tidak dibolehkan talak, namun demikian ruang itu ada (untuk dilakukan).

"Jadi kalau tahaluf telah tercalar, syaratnya telah dilanggar dan rukunnya telah dirobohkan, ulama wajib memikirkan balik...merenungkan balik serta memeriksa balik (kerjasama). Saya minta elok diperhalusi semula," katanya di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-53.

Bagaimanapun Harun berkata, sesuatu kerjasama politik itu perlu dipertahankan sekiranya ia menguntungkan Islam.

"Tahaluf berlaku dengan nasihat ulama serta syarat dan rukun dipenuhi. Jadi ulama sebagai benteng.

"Pertahankan tahaluf, pertahankan demi kebaikan Islam dan bukan individu," katanya.

Gesaan supaya PAS mengkaji semula kerjasama mereka dengan Pakatan Rakyat kembali diperkatakan susulan krisis politik membabitkan isu menteri besar Selangor.

Sejak isu berkenaan timbul, PAS dilihat mengambil jalan bertentangan dengan PKR dan DAP terutama mengenai pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar.

Artikel Berikut

Artikel Lain