suria

Jangan Keliru, Simptom Ebola Sama Seperti Demam Denggi - Subramaniam

S.Subramaniam.

PUTRAJAYA: Simptom jangkitan virus Ebola (EVD) sama seperti penghidap demam denggi di Malaysia namun memiliki ciri tambahan iaitu risiko sentuhan dengan pesakit EVD atau berkunjung ke negara terjejas, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata, simptom yang mempunyai persamaan itu ialah demam, sakit otot, sakit kepala, sakit tekak, sakit perut, muntah, cirit-birit, ruam dan kelesuan.

"Di Malaysia, mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit seperti EVD juga merupakan suspek kes demam denggi, jadi untuk mengaitkan pesakit ini dengan EVD mereka perlu ada ciri-ciri tambahan iaitu ada sentuhan dengan pesakit terbabit, atau menetap dan melancong ke negara penyakit ini sedang aktif," katanya.

Bagaimanapun, wabak EVD mungkin berlaku jika seseorang itu baru pulang dalam masa 21 hari dari negara seperti Guinea, Liberia, Sierra Leone serta Nigeria dan mengalami simptom berkenaan.

Dr Subramaniam berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan kepada Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Malaysia di Hilversum, Belanda bagi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) Penerbangan MH17 di kementeriannya di sini, Rabu.

Subramaniam juga berkata, orang ramai dinasihat tidak menyentuh barangan yang mungkin dicemari cairan badan pesakit seperti darah, najis dan air kencing.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar memaklumkan sejarah perjalanan mereka ke negara terbabit, jika ada, kepada doktor yang merawat. 

Beliau juga menyarankan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke negara terbabit namun jika terpaksa diteruskan, mereka perlu mengelak dari melawat isi rumah atau fasiliti kesihatan yang terjejas dengan wabak EVD.

Katanya, kerajaan sudah melaksanakan langkah pencegahan terutama di pintu masuk utama negara iaitu di lapangan terbang seperti mengkuarantin dan memeriksa tahap kesihatan pelancong dari negara terbabit.

Kementerian Kesihatan pada Selasa mengesahkan seorang pelajar warga Zimbabwe berumur 24 tahun, yang sebelum ini dikuarantin di Hospital Umum Kuching, Sarawak kerana disyaki dijangkiti virus Ebola, disahkan negatif selepas ujian makmal ke atas sampel klinikal pelajar itu.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan berkata setakat ini, tiada kes EVD dikesan di Malaysia.

EVD, Ebola

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain