suria

PAS Gagal Urus Krisis, 'Luka Kecil Jadi Nanah' - Suhaizan

KOTA TINGGI: Kepimpinan tertinggi PAS ditegur apabila gagal menguruskan konflik dalaman hingga menyebabkan Majlis Syura Ulama yang merupakan institusi tertinggi dalam parti itu diperlekeh oleh ahlinya sendiri.

Lebih memburukkan keadaan apabila kegagalan pengurusan krisis itu turut membabitkan kepimpinan PAS yang dilihat tidak beradab dan berdisiplin dalam menghadapi situasi berkenaan.

Kecewa dengan situasi yang dilalui, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat menyeru supaya kepimpinan tertinggi parti itu segera memantapkan aspek pengurusan krisis agar masalah yang timbul tidak dimanipulasi oleh parti lawan.

"PAS Pusat dilihat semacam tiada pelan tindakan dalam mengurus konflik yang berlaku. Perbezaan pendapat dalam PAS tidak diuruskan dengan baik sehingga menjadi krisis yang parah.

"Pemuda PAS sangat sedih apabila Majlis Syura Ulama diperlekeh dan dipertikai oleh sesetengah ahli dan pihak luar. Masyarakat umum menggeleng kepala melihat betapa lemahnya kita mengurus krisis sehingga 'luka kecil' akhirnya 'bernanah'," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Pusat ke-55 di Dewan Chon Moi di sini, Selasa.

Teguran Suhaizan itu dilihat merujuk kepada situasi terbaharu membabitkan sekutunya dalam Pakatan Rakyat terutamanya berhubung konflik jawatan menteri besar Selangor.

Sejak isu berkenaan timbul, PAS dilihat mengambil jalan bertentangan dengan PKR dan DAP terutama mengenai pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar.

Mengulas lanjut, Suhaizan menyeru supaya PAS kembali memantapkan Lembaga Disiplinnya dalam usaha mengurus krisis dalaman parti.

Tegas beliau, Lembaga Disiplin PAS kini dilihat terlalu lesu dan perlu diperteguhkan segera.

"Isi kandungan mesyuarat boleh dicapai oleh media luar parti dengan begitu cepat. Perbincangan dalaman boleh sampai ke media pihak lawan.

"Media baharu yang sepatutnya menjadi alat untuk berdakwah sudah menjadi alat untuk 'menembak kaki sendiri'.

"Lebih malang lagi apabila masalah di rumah tangga jiran, tiba-tiba rumah tangga kita pula yang berantakan," katanya.

Tambah Suhaizan, Majlis Syura Ulama yang menjadi badan tertinggi PAS perlu dimantapkan semula bagi memastikan parti itu tidak tersasar daripada perjuangannya.

"Majlis Syura Ulama perlu diperteguh untuk terus memandu parti agar tidak terbabas daripada landasan syarak. Kita juga perlu sedar bahawa musuh-musuh kita sudah mengenalpasti ‘lubuk’ kita untuk terus dimanipulasi bagi melemahkan parti.

Justeru aspek pengurusan krisis (crisis management) dalam parti perlu dimantapkan segera. Saya juga menyeru para pimpinan parti untuk menjadi qudwah dalam menunjukkan disiplin dan adab yang tinggi kepada ahli parti khususnya ketika mengahadapi satu-satu krisis," katanya.


PAS, Muktamar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain