suria

Kerajaan Kaji Wujud '30 Per Cent Club'

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan inisiatif dikenali sebagai '30 Per cent Club' ke arah meningkatkan bilangan wanita di peringkat pembuat keputusan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata inisiatif sama yang dilaksanakan di beberapa negara antaranya United Kingdom itu dilihat berjaya menonjolkan wanita berkebolehan bagi mengisi jawatan tinggi di sesebuah organisasi.

"Dalam hal ini saya difahamkan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan) sedang meneliti kemungkinan bagi Malaysia mempunyai kelabnya sendiri melalui mekanisme dan acuan kita sendiri," katanya.

Beliau berucap merasmikan Sidang Kemuncak Wanita 2014 anjuran KPWKM di sini, Isnin.

Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan timbalannya Datuk Azizah Mohd Dun.

Muhyiddin berkata kerajaan menaruh harapan besar terhadap sektor swasta untuk melonjakkan kepimpinan wanita bagi mencapai kepelbagaian dan kesaksamaan gender.

"Dalam hal ini, kerajaan pada 2011 telah mengumumkan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat," katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia 2013, 78.6 peratus daripada keseluruhan jumlah wanita yang bekerja adalah pekerja dalam sektor swasta.

Untuk itu, katanya, kerajaan telah menggubal dasar serta menyediakan insentif untuk sektor swasta bagi meningkatkan guna tenaga wanita dan memastikan golongan itu terus kekal dalam pekerjaan serta berupaya mengisi jawatan-jawatan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan dalam sektor awam juga terdapat kumpulan dan bilangan pemimpin wanita yang mampu membawa perubahan kepada cabaran bagi kesaksamaan gender.


KPWKM

Artikel Sebelum

Artikel Lain