suria

Idris Jala: Azmi Sharom Tidak Sepatutnya Didakwa

Idris Jala
PETALING JAYA: Seorang Menteri Kabinet menyatakan pendapat bahawa beliau tidak bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa terhadap pensyarah undang-undang, Prof Madya Dr Azmi Sharom yang didakwa di bawah Akta Hasutan.

"Azmi Sharom tidak sepatutnya didakwa kerana menghasut menghasut. Kebebasan Akademik diperlukan dalam menuntut ilmu," demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata demikian menerusi akaun Twitternya pada Sabtu.

"Malaysia perlu terus mengejar kesederhanaan.

"Kritikan yang membina (atau) perbezaan pendapat harus dibenarkan  selagi ia tidak melakukan kesalahan hingga merosakkan masyarakat kita," tulis beliau di Twitter.

Pada 2 September lalu, Azmi mengaku tidak bersalah selepas didakwa di bawah Akta Hasutan berhubung komen di sebuah portal berita mengenai krisis Perak pada 2009.

Azmi, yang juga kolumnis The Star, didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Bagaimanapun dia dilepaskan dengan ikat jamin RM5,000 manakala mahkamah menetapkan perbicaraan pada 3 Oktober depan.
Akta Hasutan, Idris Jala, Azmi Sharom

Artikel Sebelum

Artikel Lain