suria

MH17: Ukraine Jamin Beri Kerjasama Dalam Operasi Mencari, Siasatan

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine Laksamana Ihor Kabanenko mengenai kerjasama dalam siasatan insiden MH17 di Kiev, Ukraine, Selasa.
KUALA LUMPUR: Ukraine pada Selasa memberi jaminan bahawa ia akan membantu dan bekerjasama dalam usaha menyambung semula operasi mencari, mengumpul bukti dan siasatan di tapak nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jaminan itu diberikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine Laksamana Ihor Kabanenko pada perbincangan mereka mengenai kerjasama dalam siasatan insiden MH17 dan pertukaran pertahanan antara kedua-dua negara di Kiev, Ukraine SElasa.

"Pada dasarnya, kami bersetuju bahawa sebuah pasukan antarabangsa merangkumi anggota dari Australia, Netherlands dan Malaysia diberikan akses awal yang selamat ke tapak nahas MH17 di timur Ukraine," katanya dalam kenyataan di sini, 

Hishammuddin berlepas ke Kiev pada Ahad malam untuk memastikan keselamatan pasukan Malaysia ketika memasuki tapak nahas MH17.

Beliau berkata pasukan antarabangsa akan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) dan rakan antarabangsa relevan yang lain untuk memastikan kerjasama pelbagai pihak.


Hishammuddin dijadual menemui wakil OSCE dan Gabungan Pasukan Petugas Antarabangsa (CJITF) serta bertemu Menteri Pertahanan Ukraine Valeriy Haletey esok.

"Adalah penting sekali bagi kita untuk kekal inklusif dan mendapat kerjasama daripada semua pihak. Ini adalah satu usaha antarabangsa yang sebenarnya dan kami bernasib baik kerana tidak keseorangan dalam usaha ini," katanya.

Menurutnya beliau dan Kabanenko juga bersetuju untuk menjalinkan kerjasama bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden itu dibawa ke muka pengadilan.

Dalam kenyataan itu, Hishammuddin turut menyatakan bahawa beliau telah diberi taklimat oleh Panglima Pusat Perintah Angkatan Tentera Ukraine Mejar Jeneral Bohdan Bondar bahawa tapak nahas itu 'yang berada di dalam kawasan konflik, sedang bergolak dan tidak boleh diakses'.

MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam. 

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh.
Antara yang terkorban dalam tragedi itu ialah 43 rakyat Malaysia.
Laksamana Ihor Kabanenko, MH17

Artikel Lain