suria

Abu Backer Sidek Didakwa Kerana Kenyataan Provokasi

Abu Backer Sidek
GEORGE TOWN: Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek Mohd Zain didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan berunsur provokasi.

Abu Backer Sidek, 46, yang hadir di mahkamah bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 12 Mei kira-kira pukul 10.20 pagi di ruang legar Dewan Sri Pinang, Abu Backer Sidek dengan niat menimbulkan kemarahan D Alappah apabila berkata "India pariah, Melayu bangsat dan Cina....Saya pernah dengar perkataan Cina apa tu tapi sudah lupa," walaupun dia tahu kata-katanya itu boleh menggugat keharmonian awam.

Jika bersabit kesalahan, Abu Backer Sidek boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwaraya Datuk Razali Che Ani meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000, bagaimanapun peguam tertuduh, Rosli Ismail memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya hadir tanpa jaminan polis.

"Anak guam saya adalah seorang peguam di Kuala Lumpur dan berada di Singapura, bagaimanapun beliau datang ke mahkamah ini apabila diberitahu oleh pegawai penyiasat mengenai kes ini.

"Saya harap mahkamah tidak menetapkan sebarang ikan jamin terhadapnya atau menetapkan jumlah minimum," katanya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zulhazmi Abdullah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,000, manakala kes itu akan disebut semula pada 16 Oktober ini.


Artikel Lain