suria

MB Selangor: Tunggu Maklum Balas Istana - Khalid

Abdul Khalid Ibrahim

SHAH ALAM: Pihak Istana Selangor akan memberikan maklum balas berhubung calon-calon yang telah dikemukakan parti daripada Pakatan Rakyat bagi mengisi jawatan menteri besar negeri itu dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, berikutan itu pentadbiran negeri akan berjalan seperti biasa sehingga istana memutuskan menteri besar baharu untuk dilantik bagi menerajui negeri ini.

"Saya dimaklumkan bahawa ketiga-tiga parti iaitu PKR, PAS dan DAP telah menghantar calon-calon cadangan kepada Sultan Selangor.

"Saya percaya proses seterusnya akan menyusul dan istana akan beri maklum balas, sehingga selesai pentadbiran akan berjalan seperti biasa," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini, Rabu.

Hadir sama empat exco kerajaan negeri iaitu Iskandar Samad, Dr Halimah Ali, Dr Yunus Khairy dan Salehen Muhyi.

Menurut Khalid, walaupun dimaklumkan oleh istana mengenai penghantaran nama calon menteri besar namun beliau tidak mengetahui individu yang telah dinamakan.

Beliau juga tidak mengadakan sebarang pertemuan dengan Sultan Selangor bagi membincangkan lebih lanjut mengenai pelantikan menteri besar baharu bagi menggantikan dirinya.

Jelasnya, dalam tempoh pentadbirannya ketika ini, beliau hanya mahu memberi tumpuan terhadap pengurusan dan langkah-langkah memajukan Selangor.

"Kami melaksanakannya dengan orang yang berkurangan.

"Sehingga tamat pentadbiran, saya akan memastikan Selangor mempunyai program-program pembangunan yang lebih baik," katanya.

Khalid berkata demikian bagi mengulas tarikh penghantaran nama calon menteri besar baharu yang berakhir pada Rabu, 3 September seperti yang diminta istana sebelum ini untuk dipertimbangkan.

Pada 26 Ogos lalu Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan peletakan jawatan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Baginda menitahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar untuk dipertimbangkan sebelum dilantik ke jawatan itu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain