suria

Rayuan Kerani Wanita Buang Perkataan Islam Dalam Kad Pengenalan Ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan seorang kerani wanita untuk membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menolak permohonan beliau untuk menukar nama serta membuang perkataan 'Islam' daripada kad pengenalannya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Linton Albert memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang tepat apabila menolak semakan kehakiman Noraini Soon Mohamed Ivan Soon yang difailkan bagi memohon perintah certiorari untuk tujuan itu.

"Kami mencapai keputusan sebulat suara. Rayuan ditolak. Tiada keraguan perayu (Noraini) adalah seorang Islam dan kami (Mahkamah Rayuan) terikat dengan keputusan kes Lina Joy," katanya yang tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa JPN mengenakan syarat yang munasabah meminta Lina, yang mendakwa memeluk agama Kristian, mendapatkan sijil murtad dari Mahkamah Syariah sebelum meneruskan hasrat untuk membuang perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

Mahkamah Persekutuan, dalam satu keputusan majoriti, menolak rayuan Lina Joy untuk memaksa NRD membuang perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Mahkamah Tinggi Vernon Ong Lam Kiat.

Noraini, 39, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 Julai tahun lepas.

Beliau turut memohon perintah mandamus bagi memaksa JPN membetulkan namanya daripada Noraini Soon binti Mohamed Ivan kepada Noraini Soon serta membuang perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Dalam afidavit bertarikh 22 November 2012, Noraini berkata beliau ingin menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya kerana mendakwa tidak pernah memeluk agama itu dan status agamanya tersilap tulis sebagai Islam.


kad pengenalan, Islam, kerani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain