suria

Krisis MB Selangor: Ketua Wanita PAS Nafi Sokong Azizah

Siti Zailah
PETALING JAYA: Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof menafikan menandatangani satu kenyataan menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Dalam satu laporan oleh Harakahdaily, Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata kenyataan itu telah diedarkan sebelum beliau meneliti kandungannya dan mendapatkan kelulusan daripada sayap Wanita.

"Kenyataan semalam disebar tanpa sempat saya perhalusi dan tandatangani serta Dewan Muslimat turut memutuskan untuk menangguhkan kenyataan itu kerana membawa maksud yang berbeza," Siti Zailah dipetik sebagai berkata.

Satu kenyataan bersama kononnya oleh semua ketua sayap Wanita Pakatan Rakyat - Chong Eng (DAP), Zuraida Kamaruddin (PKR) dan PAS Siti Zailah, telah diedarkan pada Ahad, menyatakan "sokongan tanpa syarat" mereka untuk Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

Mereka juga mempersoalkan bantahan yang jelas terhadap Dr Wan Azizah, yang didakwa mempunyai kaitan dengan jantinanya walaupun menerima sokongan sah oleh 30 wakil rakyat bagi mengambil alih pejabat menteri besar.

"Jika Dr Wan Azizah adalah seorang lelaki, adakah dia akan tertakluk kepada layanan seperti ini? Kenapa perlu ada bantahan gangguan seperti ini kepada wanita yang menjadi menteri besar?.

"Hari ini, Wanita Pakatan Rakyat bersatu dalam menyatakan sokongan tanpa syarat kami untuk Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.

"Kami telah bersatu untuk mengesahkan dan mengukuhkan pendirian kami bahawa Dr Wan Azizah perlu dilantik sebagai menteri besar Selangor," kata mereka.

Mereka menambah, apabila perlembagaan negeri itu sendiri menyokong tiada diskriminasi jantina, maka adalah jelas bahawa wanita boleh menerajui negeri ini.

Mereka seterusnya berkata Dr Wan Azizah mempunyai semua keupayaan untuk memimpin kerajaan berdasarkan latar belakang akademik dan rekod beliau sebagai ahli politik. 

Walaupun Siti Zailah mengakui pernah menyatakan sokongan untuk Dr Wan Azizah, beliau bagaimanapun berkata ia adalah berdasarkan keputusan awal PAS untuk mencalonkan dua nama, Dr Wan Azizah dan timbalannya Azmin Ali.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa berhubung penyebaran kenyataan itu, memberi teguran kepada rakan-rakannya yang melepaskan kenyataan itu tanpa kelulusan beliau.

“Saya tidak mahu berbalah. Hanya Allah yang mengetahui isi hati saya. ‘Wala’ kami kepada keputusan PAS Pusat sahaja,” katanya. 

Zuraida dan Chong Eng tidak dapat dihubungi untuk ulasan.
Siti Zailah, PAS, Dewan Muslimat

Artikel Lain