Malaysia, Negara Asia Pertama Hos Persidangan Penyelidikan Antartika 2016 - Semasa | mStar

Malaysia, Negara Asia Pertama Hos Persidangan Penyelidikan Antartika 2016

Noorul Ainur Mohd Nur
AUCKLAND: Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia selaku tuan rumah Mesyuarat Dwitahunan Jawatankuasa Saintifik bagi Penyelidikan Antartika (SCAR) dan Persidangan Sains Terbuka pada 2016, kata Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Dr Noorul Ainur, yang berada di sini untuk menghadiri persidangan SCAR ke-33 sehingga 3 September ini berkata, Malaysia memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan dalam Persidangan Perwakilan SCAR di Portland, Amerika Syarikat pada 2012.

Beliau berkata, persidangan antarabangsa itu menghimpunkan lebih 1,000 peserta antarabangsa, terdiri daripada perwakilan SCAR, saintis, penyelidik dan penggubal dasar dari lebih 30 negara yang dijangka menyertai acara dwitahunan itu.

Tema yang dipilih bagi persidangan ini adalah 'Antartika dalam Sistem Bumi Global: Dari Khutub ke Tropika.'

SCAR adalah sebuah jawatankuasa di bawah Majlis Sains Antarabangsa (ICSU), dan dipertanggungjawabkan dengan pengenalan, promosi dan penyelarasan penyelidikan saintifik di Antartika.

Jawatankuasa itu turut memberi nasihat saintifik bebas kepada Sistem Perjanjian Antartika (ATS) dan badan lain.

SCAR, yang ditubuhkan pada 1958, pada masa ini dianggotai 31 negara, enam anggota bersekutu dan sembilan anggota gabungan. Malaysia diterima sebagai anggota SCAR pada 2008.

Dr Noorul Ainur, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu bagi persidangan SCAR 2016, berucap pada sesi penutupan Persidangan dan Mesyuarat 2014 semalam.

Delegasi lain dari Malaysia ke mesyuarat di Auckland itu termasuk Kamel Mohamad, Setiausaha Bahagian Kanan (Perancangan) Mosti; Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC); Nasaruddin Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM); dan Muhammad Fardy, Pegawai Eksekutif YPASM.

"Selaku negara Asia pertama diberi penghormatan dan keistimewaan untuk menganjurkan acara saintifik berprestij ini, ia memberi peluang kepada saintis, penyelidik dan penggubal dasar Malaysia untuk mewujudkan jaringan dengan peneraju dunia dalam sains Antartika dan bertemu dengan pengurus program Antartika antarabangsa dari negara tradisional khutub ke arah memperkukuhkan hubungan dua hala saintifik dengan negara berkenaan," katanya.

Dr Noorul Ainur berkata, Mosti, menerusi YPASM, akan mengetuai persiapan bagi penganjuran persidangan itu.

"Penghormatan yang diberi SCAR kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara ini menandakan pengiktirafan komuniti saintifik antarabangsa dalam pencapaian serta komitmen saintifik Malaysia terhadap Antartika," katanya.

Malaysia terlibat dalam penyelidikan Antartika sejak 1999. Kajian tentang Antartika, Lautan Selatan dan peranannya dalam Bumi, semakin bertambah penting hari ini berikutan perubahan iklim mendadak yang dialami di seluruh dunia.

Benua Antartika yang sebahagian besarnya dilitupi ais, adalah sebuah komponen utama dalam sistem iklim global Bumi. Wilayah ini mengalami perubahan yang bersifat global, menjadikannya sebuah makmal yang kaya bagi penyelidikan transformasi, mempunyai kepentingan tersendiri dan mustahil untuk dicapai di tempat lain di dalam planet.


Klik

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

Artikel Lain