suria

CEO, Pengarah Syarikat Dihukum Penjara Tipu Pengurus Jualan RM150,000

KUALA LUMPUR: Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat rangkaian peruncitan dihukum penjara dua tahun dan dua sebatan, manakala pengarahnya dihukum penjara 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah menipu seorang pengurus jualan RM150,000.


Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Kopais Konsortium (M) Sdn Bhd Mohd Syawaludin Siran, 38, dan pengarahnya, Rosinah Ahad, 26, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan Syawaludin dan Rosinah menjalani hukuman penjara itu bermula Jumaat.

Bagaimanapun Norsharidah membenarkan permohonan peguam Mohd Zawahid Ya yang mewakili kedua-dua tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman itu tetapi menaikkan wang jaminan daripada RM10,000 kepada RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata pembelaan kedua-dua tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata dan difikirkan kemudian.

Syawaludin dan Rosinah didakwa bersama-sama menipu Noorzita Baharudin, 48, yang merupakan pengurus jualan Medicoptic Supplies Sdn Bhd dengan memperdayanya untuk mempercayai bahawa mereka boleh menjual pelan perniagaan kedai serbaneka 24 jam Station Rakyat di Plaza Usahawan Crystal Ville, Taman Danau Kota, Setapak.

Perbuatan itu mendorong Noorzita menyerahkan deposit membeli pelan perniagaan itu melalui tiga keping cek yang berjumlah RM150,000 ke dalam akaun Maybank syarikat Kopais.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Wangsa Delima 1A, KLSC 3, Wangsa Maju di sini antara 7 Januari hingga 7 Mei 2013.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin.

Artikel Lain