suria

MH17: Tiga Jenazah Tiba Di Perak Tengah Hari Jumaat

IPOH: Setakat ini hanya tiga jenazah rakyat negeri Perak yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini tengah hari Jumaat , kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata jenazah berkurangan seorang berbanding empat yang diumumkan pada Rabu.

Lokasi penghantaran dan pengebumian ketiga-tiga jenazah akan diumumkan esok, katanya.

"Di Kuala Lumpur, pesawat akan tiba sekitar pukul 10 pagi manakala di peringkat kita, kemungkinan pukul 12.30 tengah hari atau pun selepasnya," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi ke LTSAS.

Beliau berkata Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan untuk berangkat ke istiadat penghormatan penerimaan jenazah mangsa di LTSAS.

Zambry berkata tiada tempat khas yang ditetapkan untuk rakyat bertafakur di negeri ini dan ia boleh dilakukan di mana sahaja.

Kerajaan mengumumkan 20 jenazah warga Malaysia (11 beragama Islam dan sembilan bukan beragama Islam) akan dibawa pulang dari Amsterdam esok.

Jenazah merupakan sebahagian 298 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu. 


MH17, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Lain