suria

Pengusaha Restoran Didakwa Tipu Wanita Urusan Jual Kereta Mercedes

JOHOR BARU: Seorang pengusaha restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Selasa terhadap empat pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan penjualan kereta Mercedes tujuh tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Amin Hew, 56, didakwa menipu dan memperdaya Tan Sook Fuen dengan mendorong Tan mempercayai Mohd Amin boleh mendapatkan kereta Mercedes jenis E240 tahun 2003 yang dilelong oleh kastam dengan harga murah.

Tan, 52, kemudiannya menyerahkan wang tunai RM15,000 kepada tertuduh di No 9, Jalan Puchong 4, Taman Perling, Johor Baharu, pada 8 malam 16 Januari 2007.

Bagi tuduhan kedua, Mohd Amin didakwa melakukan perbuatan sama terhadap wanita itu sehingga mendorong Tan mendepositkan RM25,000 ke akaun Ambank milik tertuduh, pada 9.45 pagi 18 Jan 2007 di Ambank (M) Bhd cawangan Skudai, Johor Baru.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh melakukan kesalahan sama sehingga mendorong Tan mendepositkan RM13,500 dan RM35,000 ke akaun Ambank tertuduh di cawangan bank sama antara 9.12 pagi hingga 9.30 pagi pada 22 Januari 2007.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda. 
Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin.
 
Mahkamah menetapkan 3 September untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Asram Zakaria.
tipu, pengusaha restoran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain