suria

Krisis Selangor: Husam Mahu Khalid Berhenti Perkuda PAS

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu terus memperalatkan PAS demi survival politiknya untuk kekal sebagai menteri besar Selangor.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, tindakan Abdul Khalid untuk mengekalkan empat exco parti itu dalam pentadbirannya seakan mahu memecah belahkan Pakatan Rakyat (PR).

"Kerajaan Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat. Bukan kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim. Tan Sri memecat exco daripada PKR dan DAP. Juga mengambil pelbagai langkah politik lain lagi yang ikut memalitkan PAS.

"Tindakan ini boleh memecah belahkan pakatan kerana seakan menunjukkan PAS terus mendokong Menteri Besar yang sudah hilang legitimasi. Ia merosakkan PAS dan Tan Sri tidak berhak berbuat demikian kepada PAS," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian menerusi surat terbuka kepada Abdul Khalid berhubung krisis politik Selangor yang makin berpanjangan khususnya membabitkan kerusi panas menteri besar.

Mengulas lanjut Husam berkata, Abdul Khalid tidak sewajarnya menggunakan 15 Adun PAS sebagai sebahagian daripada rancangan politiknya untuk membentuk kerajaan campuran.

"Untuk kekal sebagai menteri besar, Tan Sri tidak boleh mencaturkan 15 Adun PAS untuk menggenapkan bilangan yang cukup bagi pembentukan kerajaan Selangor PAS-Umno serta  lompat adun Bebas yang lompat parti daripada DAP atau PKR.

"Itu sangat tidak bermoral. Perbuatan terkutuk dan ditolak oleh amalan demokrasi yang mulia. Memasukkan perkongsian kuasa PAS dan Umno melanggar banyak prinsip yang dipegang oleh PAS selama ini," katanya.

Selain itu menerusi surat terbuka itu juga, Abdul Khalid dinasihat supaya melepaskan jawatan menteri besar kerana tidak mempunyai bilangan majoriti yang cukup.

"Tan Sri sebagai tokoh korporat yang biasa dengan angka tentu tahu, sekalipun 15 Adun PAS campur 12 Adun Umno dan campur Tan Sri sendiri, ia hanya berjumlah 28 daripada 56 jumlah keseluruhan Adun.

"Situasinya 50:50. Ia tidak membolehkan Tan Sri mendapat majoriti mudah dari awal, sekalipun jika PAS dan Umno sanggup bersekongkol untuk mendaulatkan seorang insan bernama Khalid Ibrahim lebih dari segala-galanya," katanya.

PAS, PKR, Umno

Artikel Lain