suria

MH17: 16 Mayat Rakyat Malaysia Dikenalpasti

Datuk Seri Liow Tiong Lai
PETALING JAYA: Hampir sebulan selepas penerbangan MH17 dengan 298 orang di atas pesawat ditembak jatuh, pakar-pakar telah mengenal pasti 16 mayat rakyat Malaysia.

"Kerajaan Malaysia telah bekerjasama rapat dan tanpa mengenal penat lelah dengan kerajaan Belanda dan negara-negara lain untuk mengenal pasti mayat mangsa tragedi MH17. Hasil daripada usaha-usaha ini, 16 rakyat Malaysia telah dikenal pasti," kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan, Selasa.

"Kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk membawa mereka pulang dan menyerahkannya kepada keluarga masing-masing tidak lama lagi," katanya.

"Sebagai tanda penghormatan dan menghormati privasi mereka, kami sedang berbincang dengan waris berkaitan penerimaan mayat apabila tiba di Malaysia dan hasrat mereka sedang dipermudahkan," katanya.

Liow berkata ahli-ahli keluarga telah diberi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan sepenuh penghormatan kepada mangsa apabila mereka tiba di tanah air.

"Negara ini memang bersedih dengan kehilangan saudara-saudara kita. Kita perlu berdiri bersama-sama untuk membantu mereka berdepan tempoh bersedih ini, terutamanya bagi mereka yang telah kehilangan orang tersayang, "katanya.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai selepas berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777-200 dipercayai telah ditembak jatuh di negara bergolak ini.

Artikel Lain