suria

Paras Air Empangan Sungai Selangor Menurun, Hampir Kritikal

Empangan Sungai Selangor.

PETALING JAYA: Air di Empangan Sungai Selangor menurun hampir mencapai paras kritikal.

Paras itu menurun kepada 31.9 peratus daripada kapasitinya pada Jumaat. Kapasiti sebuah empangan yang mencatatkan paras 30 peratus dan ke bawah adalah kritikal.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Priscilla Alfred berkata terdapat bekalan air yang mencukupi untuk pengguna isi rumah pada masa ini, dan catuan air mungkin akan dilakukan sekiranya musim kering berterusan.

"Penggunaan air juga mencatatkan peningkatan, ini berlaku semasa musim kering di mana orang ramai akan menggunakan lebih banyak air.

"Jika penggunaan air yang tinggi dan musim kering masih berterusan, mungkin akan diadakan catuan air tidak berjadual di sesetengah tempat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, jumlah penggunaan air rakyat Malaysia bagi seorang pada setiap hari adalah kira-kira 220 liter.

"Sejak musim kering berlaku, penggunaannya sekarang telah meningkat kepada kira-kira 250 liter seorang setiap hari," katanya.

Tambahnya, jumlah itu amat tinggi berbanding penggunaan air di negara jiran di Singapura, di mana mereka menggunakan kira-kira 160 liter seorang setiap hari.

Paras air di Empangan Sungai Selangor mencapai 37 peratus sewaktu catuan air yang dilakukan di Lembah Klang antara Februari dan Mac.

Empangan itu membekalkan kira-kira 60 peratus keperluan air mentah di Lembah Klang.

Artikel Lain