suria

MH17: Kabinet Setuju Tubuh Jawatankuasa Koordinasi Bagi Upacara Terima Jenazah Mangsa

Hishammuddin Hussein.
KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Koordinasi bagi upacara menerima jenazah mangsa nahas pesawat MH17 yang akan diterbangkan dari Belanda.

Mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan esok di Kementerian Pertahanan dan dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Hishammuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, jawatankuasa itu akan dinaungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dianggotai 10 menteri yang berkenaan. 

Katanya, selaku Menteri Pertahanan beliau dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan Jawatankuasa Koordinasi itu.

"Mesyuarat Koordinasi esok akan membabitkan penyertaan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Dr Wee Ka Siong.

"Selain itu, beberapa agensi lain akan turut hadir ke mesyuarat koordinasi itu antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Malaysia Airlines (MAS) dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB)," katanya.

Hishammuddin berkata, mesyuarat esok akan membincangkan secara terperinci mengenai persediaan upacara menyambut dan menerima jenazah, selain taklimat dan penerangan lanjut berkaitan tugas dan tanggungjawab setiap kementerian dan agensi yang terbabit. 

Katanya, cadangan dan pandangan daripada mesyuarat itu akan dibentang kepada Muhyiddin pada mesyuarat khas yang dijangka diadakan pada minggu depan.


Sementara itu, Hishammuddin berkata, Jawatankuasa Operasi membabitkan pegawai kanan kementerian dan agensi yang berkenaan sudah mengadakan dua mesyuarat penyelarasan pada 25 dan 31 Julai lalu berhubung perkara ini.

MH17, MAS

Artikel Lain