suria

Tujuh Kematian Akibat Denggi Di Kelantan

KOTA BAHARU: Kes demam denggi di Kelantan semakin membimbangkan setelah tujuh kematian dicatatkan dalam tempoh Januari hingga Julai lalu berbanding 2013 yang tidak merekodkan kes kematian.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata dalam tempoh tujuh bulan itu, 5,367 kes dicatatkan berbanding 756 kes dalam tempoh yang sama pada 2013. 
 
"Ini menunjukkan peningkatan yang agak tinggi iaitu sebanyak 575 peratus berbanding 2013," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata jajahan Kota Baharu merupakan penyumbang tertinggi kepada kes demam denggi iaitu 79 peratus diikuti Tumpat (10.2 peratus), Bachok (3.6 peratus) dan Tanah Merah (1.7 peratus). 

Ahmad Razin berkata 295 lokaliti kes dicatatkan dan daripada jumlah tersebut 39 lokaliti telah dikesan sebagai bintik panas. 

 
"Sebagai contoh, Taman Peradang di sini merupakan sebuah lokaliti kes melibatkan 1,484 penduduk. 
 
"Daripada jumlah penduduk itu, sebanyak 128 orang atau 8.6 peratus telah disahkan menghidap demam denggi dalam tempoh Januari hingga Julai," katanya. 

Beliau meminta agar masyarakat mengambil berat isu kesihatan dengan sentiasa memastikan kawasan sekeliling rumah dibersihkan secara berkala.
 
"Masyarakat perlu memastikan bahawa aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes dilakukan setiap hari termasuklah melakukan kerja-kerja pembersihan sehingga 200 meter daripada kediaman masing-masing," katanya. 

nyamuk, denggi

Artikel Lain