suria

Pakatan Tidak Berpecah - Anwar

BUTTERWORTH: Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan kononnya PAS akan menarik diri daripada Pakatan Rakyat (PR).

Tegasnya hingga kini tidak ada petunjuk bagi menyokong dakwaan itu.

"Itu sesuatu yang mustahil (untuk mengatakan PAS mahu meninggalkan PR), mereka masih komited kepada Pakatan Rakyat.

"Sudah tentu, terdapat sentimen di peringkat bawah. Saya sendiri memilih untuk tidak melayan beberapa dakwaan itu kerana kita mempunyai keyakinan penuh terhadap sikap dan dasar-dasar kepimpinan parti.

"Ada pendapat yang disuarakan tetapi kami masih dalam proses perbincangan. Saya tidak melihat ini sebagai perpecahan," katanya selepas menyampaikan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim di Masjid Permatang Nibong, dekat sini, Rabu.

Jelas Anwar, komen yang tidak sesuai dan tidak sihat mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyebabkan berlakunya salah faham.

Ditanya mengenai pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak usaha untuk menggulingkan Khalid mungkin mencerminkan pendirian rasmi PAS, Anwar berkata perkara itu perlu diselesaikan PAS.

"Itu pandangan peribadi Tok Guru Haji Hadi. PAS perlu mendengar penjelasan beliau dan juga menyelesaikan isu-isu seperti mengapa seorang wanita tidak boleh dilantik Menteri Besar.

"Jika tidak, kesannya mungkin tidak terlalu baik untuk jangka masa panjang," katanya.
PAS, PKR, Anwar Ibrahim, Pakatan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Lain