suria

Jalan TAR, Masjid India Dibuka 24 Jam Khas Untuk Pembeli Saat Akhir

Hamidah Mokhtar berkerja secara bergilir-gilir dalam masa 24 jam.

DALAM keadaan cuaca panas terik, orang ramai dilihat membeli-belah pada saat-saat akhir di Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, lokasi popular setiap kali menjelang musim perayaan.


Kebanyakan peniaga di kawasan tersebut menjalankan perniagaan sepanjang masa sejak seminggu lalu untuk memenuhi permintaan tinggi orang ramai terutama selepas waktu berbuka puasa.

Ramai juga peniaga dilihat menurunkan harga barangan mereka untuk meningkatkan jualan menjelang Aidilfitri.

Pengendali Realhijab Collection, Hamidah Mokhtar, 24, berkata, mereka kini bekerja mengikut syif dalam tempoh 24 jam kerana menjangkakan kehadiran orang ramai meningkat pada hujung minggu terakhir sebelum raya.

"Biasanya, kami menutup kedai kira-kira jam 2 pagi, tetapi kini kedai dibuka 24 jam. Kami juga memberikan diskaun yang lebih baik, tiga hari sebelum hari raya," katanya. 

Hamidah menjual pelbagai jenis tudung yang ditawarkan dalam beraneka corak dan warna.

"Di awal Ramadan, empat helai tudung dijual dengan harga RM100, tetapi sekarang pembeli boleh membeli lima helai untuk harga yang sama," katanya.

Kedainya juga terserlah dengan lantai permaidani merah dan televisyen yang menayangkan tutorial cara-cara untuk memakai hijab.

Peniaga biskut Aizan Aibadillah, 34, juga telah mengurangkan harga satu kotak biskut dari RM18 kepada RM10.

"Saya perlu menjual semua stok saya dan yakin dapat melakukannya kerana kunjungan orang ramai meningkat pada sebelah petang kerana ini adalah hujung minggu terakhir sebelum Hari Raya. Hampir tidak ada ruang untuk berjalan dengan bebas," katanya.

Pekerja Anrita Tekstil, Siska Inddrianni Indra, 25 pula berkata, baju kurung moden kini dijual separuh harga.

Safiza Sofi, 42, dan dua anak perempuannya Tengku Puteri Najwa Tengku Nadzri, 21, dan Tengku Puteri Nadzriana, 8, sedang mencari pakaian berwarna hijau 'emerald' yang bersesuaian dengan tema warna untuk keluarga mereka tahun ini. 

"Kami datang ke sini kira-kira pukul 11 ​​pagi dan membeli-belah saat-saat akhir sebelum balik kampung di Perlis," katanya.
Jalan TAR, Masjid India

Artikel Lain