suria

Kerajaan Lantik Dua Menteri Kendali Proses Pengurusan Jenazah MH17

Hishammuddin beramah mesra bersama anggota TLDM pada Majlis Iftar Pegawai Kanan dan Warga TLDM di KD Mahawangsa di Pelabuhan Klang pada Khamis. Foto BERNAMA

PELABUHAN KLANG: Kerajaan bersetuju melantik dua menteri bagi mengendalikan proses pengurusan jenazah rakyat Malaysia yang terlibat dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, Khamis lepas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua menteri berkenaan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi jenazah Islam manakala Datuk Seri Joseph Kurup bagi jenazah bukan Islam.

Selain itu katanya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pula dilantik bagi menguruskan waris jenazah berkenaan.

"Perkara ini telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan menteri ini akan bermesyuarat untuk membincangkan kaedah sesuai dalam pengurusan jenazah. Ini tidak termasuk menteri lain seperti (Menteri Luar) Datuk Seri Anifah Aman dan (Menteri Pengangkutan) Datuk Seri Liow Tiong Lai yang turut sama menyumbang dalam isu ini.

"Angkatan Tentera Malaysia pula diberi tanggungjawab dari sudut adat istiadat ketenteraan untuk menyambut jenazah tersebut," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama Pegawai Kanan ATM dan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas kapal KD Mahawangsa di sini, Khamis.

Majlis tersebut turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Khamis lepas, pesawat Boeing 777-200 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan terhempas di kawasan timur Ukraine.

Pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh.

Pesawat itu dilaporkan berlepas pada 12.15 tengah hari waktu Belanda dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 6.10 pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata walaupun negara sedang dihimpit tragedi pesawat MH17, namun usaha mencari serta mengesan kehilangan pesawat MH370 yang sejak Mac lepas masih diteruskan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerjasama kerajaan dengan negara China dan Australia dalam pencarian pesawat MH370 masih diberi perhatian khusus

sehingga ia berjaya ditemui semula.

Artikel Berikut

Artikel Lain