suria

Najib: KPI GLIC, GLC Dijangka Sedia Peluang Niaga RM7 Bilion

PUTRAJAYA: Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dijangka menyediakan peluang perniagaan bernilai RM7 bilion tahun ini berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata KPI GLIC dan GLC ini dibangunkan oleh Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC, atau PGC. 

"PCG menetapkan prinsip dan arah tuju KPI dan 'inisiatif untuk berubah' bagi GLIC dan GLC," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di sini Khamis.

"KPI ini bersifat inklusif, berasaskan merit, telus, mesra pasaran dan seterusnya akan membantu komuniti Bumiputera bersaing secara kompetitif.

Beliau berkata inisiatif baharu tahun ini juga antara lain meliputi usaha mewujudkan 50 vendor baharu menerusi Program Pembangunan Vendor, sembilan konsortium atau syarikat induk baharu, penambahan RM700 juta menerusi program Crave Out & Compete.

Selain itu, katanya peruntukan perolehan bernilai RM2 bilion, peruntukan pembiayaan berjumlah RM527 juta dan juga peruntukan pembangunan keusahawanan berjumlah RM100 juta, juga diwujudkan.

Najib berkata Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Skim Pengurusan Kebolehgajian Graduan (GEMS) bakal diperluaskan bagi melatih 2,123 graduan pada 2014.

"Dianggarkan 1,166 biasiswa akan diberikan kepada Bumiputera pada 2014, iaitu dua kali ganda daripada 584 biasiswa yang diberikan pada tahun sebelumnya," kata Perdana Menteri. 

Najib berkata KPI GLIC dan GLC juga memperuntukkan dana tambahan bernilai RM1.3 bilion bagi pembinaan lot komersil dan perumahan. 

"GLC juga memperuntukkan RM100 juta kepada Bumiputera dalam sektor perkhidmatan digital bagi meningkatkan penyertaan mereka dan memperkaya bakat dan kapasiti," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata GLIC dan GLIC akan mengambil empat sekolah tambahan sebagai anak angkat dalam program PINTAR dan menyasarkan 37 sekolah amanah baharu di bawah Yayasan AMIR.

Najib Tun Razak, KPI, GLIC, GLC

Artikel Lain