suria

Kilang Kimpalan Hampir Musnah Terbakar

TAMPIN: Sebuah kilang kimpalan di kawasan industri kecil Taman Gunung Mas dekat sini hampir musnah dijilat api dalam kebakaran awal pagi Khamis.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tampin Roslan Sahrani berkata bomba menerima panggilan mengenai kebakaran kilang itu pada pukul 2.23 pagi dan sebuah jentera bersama lima anggota dan pegawai dari balai itu tiba ke tempat kejadian dua minit kemudian.

"Kita turut mendapat bantuan sepasukan enam pegawai dan anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau. Sebaik tiba api sedang marak, namun api dapat dikawal daripada merebak di kilang bersebelahan 12 minit kemudian," katanya ketika dihubungi.

Api berjaya dipadamkan keseluruhannya dalam tempoh 30 minit dan 70 peratus bangunan kilang itu musnah terbakar .

Katanya kebakaran itu turut memusnahkan peralatan kimpalan, besi dan mesin pemotong.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat," katanya. 

kilang kimpalan, terbakar

Artikel Lain