suria

Kes Sweden: Azizul Raheem Tiba Di KLIA Petang Selasa

KUALA LUMPUR: Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin yang baru keluar dari penjara di negara itu atas kesalahan memukul anaknya, akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 5.30 petang Selasa.

"Kepulangan ini telah dimaklumkan kepada ahli keluarga Azizul," kata Wisma Putra.

Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan memukul keempat-empat anaknya sejak September 2010, dan telah menjalani hukuman penjara tiga bulan di Sweden bermula 28 Mac lepas.

Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhi hukuman penjara 10 bulan terhadap Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal bagi kesalahan yang sama.

Bagaimanapun mahkamah mengurangkan hukuman penjara apabila masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, akan dibebaskan tiga bulan lagi.

Empat anak pasangan itu yang pada mulanya diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam kerana kes berkenaan, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di sini pada 30 Jan lepas.

Mereka pulang ke Malaysia sehari kemudian dan kini dijaga oleh ibu saudara dan bapa saudara mereka di Kelantan.

Sweden

Artikel Lain