suria

Muhyiddin Buka Puasa Bersama Pengamal Media

Muhyiddin (kanan) menyampaikan bantuan duit raya kepada Nur Auni Safiya Jefri, 3, (kiri) pada majlis berbuka puasa bersama media di Balai Berita NSTP Jalan Bangsar di sini, malam Selasa.
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa meraikan pengamal media dan blogger di majlis berbuka puasa di Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP), di sini.


Ini merupakan kali kedua majlis seumpamanya diadakan timbalan perdana menteri di syarikat konglomerat media yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Antara yang hadir ialah Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Bernama, Datuk Zakaria Abd Wahab dan Pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaafar. Turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan sumbangan kepada 78 orang anak yatim dari empat buah sekolah di sekitar Selangor sebelum menunaikan solat maghrib berjemaah selepas berbuka puasa.

Turut diundang pada majlis itu lima beradik yang kehilangan ibu bapa selepas mereka terbunuh dalam kejadian langgar lari di Jalan Loke Yew di sini, Mei lepas.

Atas keprihatinan kerajaan, lima beradik berkenaan iaitu Mohammad Haiqal, 16, Fatin Adelina, 14, Muhammad Aidil, 10, Nur Syamimi, 4 dan Nur Auni Safiya, 3, bakal menerima bantuan kolektif RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban mereka.

Bantuan kepada kanak-kanak berkenaan akan diberikan secara berterusan sehingga mereka mencecah 18 tahun.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi, 24 Mei lepas, mangsa, Jefri Mohd Zain, 46, dan isterinya, Norsalawati Ibrahim, 40, yang menunggang motosikal mati di tempat kejadian setelah digilis sebuah lori yang membawa muatan pasir.

Selepas menghadiri jamuan makan, Muhyiddin turut meluangkan masa menunaikan solat tarawih berjemaah.


Artikel Lain