suria

Soup Kitchen Boleh Beroperasi Hingga 16 Ogos - Tengku Adnan

Tengku Adnan Tengku Mansor.
KUALA LUMPUR: Semua badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti 'Soup Kitchen' hanya dibenarkan meneruskan aktiviti memberi makanan kepada gelandangan sehingga 16 Ogos ini iaitu selepas sambutan Aidilfitri. 

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tarikh itu telah dipersetujui sebagai tarikh baharu penguatkuasaan larangan memberi makanan kepada gelandangan selepas mengadakan perjumpaan dengan 12 NGO pada Selasa.

"Mereka masih boleh mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan cuma tidak dibenarkan berada dalam kawasan 2km radius dari ibu kota," katanya dalam kenyataan, Selasa.

Beliau berkata bagaimanapun NGO yang mempunyai premis yang sesuai seperti rumah ibadat atau bangunan sendiri dibenarkan mengagih makanan walaupun dalam lingkungan 2km radius.

Menurut Tengku Adnan, antara hasil perbincangan lain yang dipersetujui adalah semua NGO akan bekerjasama dengan kerajaan bagi membanteras aktiviti sindiket yang menggunakan pengemis untuk meminta sedekah dan mewujudkan premis angkat Anjung Singgah.

Katanya, satu lagi sesi perjumpaan bersama-sama golongan gelandangan dan pengemis juga akan diadakan dalam waktu terdekat bagi mendengar keluhan dan membantu meningkatkan taraf hidup mereka. 

Khamis lepas, Tengku Adnan berkata Soup Kitchen tidak lagi dibenar beroperasi dalam lingkungan 2km dari pusat beli-belah terkemuka Lot 10 di Jalan Bukit Bintang di sini, berkuat kuasa serta-merta. 

Beliau berkata langkah itu adalah usaha kerajaan bagi membersihkan ibu kota daripada golongan peminta sedekah dan gelandangan serta aktiviti Soup Kitchen yang memberi makanan dan mencemarkan imej bandar raya dari segi kebersihan.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata faktor kurang pendidikan dan tidak mempunyai kelayakan mendorong peningkatan golongan gelandangan.

"Satu kajian oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menunjukkan bahawa punca peningkatan gelandangan adalah kerana mereka tidak mempunyai kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan," katanya dalam Majlis Penyerahan Bantuan Pelajaran Pelajar Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), di sini. 

Dalam majlis yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu, seramai 257 orang pelajar menerima bantuan pelajaran YWP dengan jumlah keseluruhan bantuan RM188,620.

Tengku Adnan, Soup Kitchens

Artikel Lain