Pakatan Rakyat Belum Mampu Tadbir Negara - Semasa | mStar

Pakatan Rakyat Belum Mampu Tadbir Negara

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
KLANG: Pergeseran dalaman Pakatan Rakyat yang tidak berkesudahan dalam kerajaan negeri Selangor memberi mesej jelas bahawa gabungan parti itu belum bersedia memerintah sebuah negara, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata krisis kepimpinan yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini melambangkan kurangnya kemampuan parti itu untuk mentadbir dengan berwibawa malah percakaran antara pemimpin menunjukkan pentadbiran mereka adalah lemah.

"Ini memberi gambaran jelas bahawa PR masih belum mampu mentadbir kerana krisis jawatan Menteri Besar Selangor pun masih berlarutan sehingga terpaksa mengambil masa sampai setahun.

"Menteri Besar yang ada sekarang pula tidak dapat sokongan daripada pemimpin parti menyebabkan timbul pula krisis air dan sebagainya, jadi apakah mesej yang cuba mereka (PR) sampaikan kepada rakyat?" katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada Anak Yatim anjuran Pemuda Umno Selangor di sini malam Isnin.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas krisis jawatan Menteri Besar Selangor yang diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan tekanan hebat daripada kepemimpinan Pakatan Rakyat sendiri sehingga ada yang mendesaknya meletakkan jawatan.

Jelas Khairy, krisis jawatan itu ibarat memberi tamparan hebat kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat kerana dilihat masih tidak dapat meyakinkan masyarakat bahawa mereka mampu memilih seorang menteri besar yang diterima ramai.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang didakwa cuba memutar belit peringatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perpaduan kaum semalam, Khairy menyifatkan ia sebagai berniat jahat.

Katanya, tindakan Kit Siang itu ibarat mahu menutup kelemahannya sendiri malah mendakwa kerapuhan perpaduan nasional masa kini turut disumbang oleh DAP.

"Selama ini sudah banyak kenyataan yang dibuat DAP mengguris perasaan bumiputera di negara ini dan beliau sendiri tidak dapat bendung kemarahan rakyat kerana dia gagal kawal kenyataan yang dikeluarkan daripada anggota parti dia sendiri," katanya.

Tambah Khairy, peringatan Muhyiddin itu seharusnya dilihat secara positif kerana tidak mustahil peristiwa 13 Mei 1969 boleh berulang jika perpaduan nasional tidak terus diharmonikan oleh semua lapisan masyarakat.
Khairy Jamaluddin , Pakatan Rakyat

Artikel Berkaitan

Klik

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

Artikel Lain