suria

Jangan Lakukan Pembakaran Terbuka - Palanivel

G. Palanivel.
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang musim panas dan kering yang sedang dialami sekarang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel juga meminta orang ramai supaya tidak membiarkan tanah kepunyaan mereka dimasuki atau diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan melakukan pembakaran terbuka.

Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan, katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Sehingga semalam, sebanyak 4,363 kes pembakaran terbuka dikesan melibatkan kawasan pertanian iaitu 1,433 kes, kawasan belukar (1,001 kes), kawasan hutan (897 kes), kawasan pembinaan (132 kes), kawasan industri (34) tapak pelupusan sampah (69 kes) dan lain lain pembakaran terbuka kecil (797). 

Orang ramai diminta bekerjasama memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Bomba di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727.

pembakaran terbuka, G. Palanivel

Artikel Lain