Elaun Bulanan JKM Tidak Mencukupi Paksa Golongan Kurang Bernasib Baik Mengemis - Semasa | mStar

Elaun Bulanan JKM Tidak Mencukupi Paksa Golongan Kurang Bernasib Baik Mengemis

KUALA LUMPUR: Elaun bulanan sara hidup Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tidak mencukupi memaksa golongan kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya (OKU) 'mengemis' dan menjual tisu di jalanan. 

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Masjid India dan Jalan Chow Kit, mendapati rata-rata peminta sedekah atau penjual tisu terdiri daripada golongan OKU yang tidak mampu bekerja dan hanya bergantung kepada sumber jualan tisu mahupun pemberian sedekah daripada orang ramai. 

Seorang OKU, dikenali sebagai Fatimah, 50, berkata beliau dan suaminya, Ahmad, 53, terpaksa menjual tisu bagi menampung keperluan harian dan bayaran utiliti rumahnya setiap bulan kerana elaun bulanan sebanyak RM300 diterimanya daripada JKM masih tidak mencukupi. 
 
"Walaupun bayaran sewa rumah ditanggung separuh oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setiap bulan, tapi kami masih lagi perlu menanggung kos lain seperti bil api (elektrik), bil air dan makanan harian yang memerlukan bayaran yang tinggi," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Selain itu, Fatimah juga tidak bersetuju dengan cara pihak JKM menarik semula elaun bulanan diberikan kepada golongan OKU lain atas alasan tidak munasabah seperti anak yang ditanggung sudah meningkat dewasa dan mampu bekerja.

"Oleh itu, saya harap agar JKM lebih telus dan dapat mengagihkan peruntukan dengan sempurna kepada pihak yang benar-benar layak," katanya. 

Sementara itu, seorang OKU iaitu Choo (bukan nama sebenar), 61, berkata hasil penjualan tisu hanya mampu diperoleh sekitar RM20 sehari. 

Katanya, beliau juga menerima elaun bulanan yang sama daripada JKM, namun ia hanya mencukupi untuk membayar sewa bilik sahaja. 

Menurut penjual-penjual tisu berkenaan, mereka membeli tisu menggunakan modal sendiri.

Sementara itu, Mohamad, 68, yang menghidapi penyakit untut selama hampir dua tahun terpaksa mengemis di jalanan untuk membiayai kos sara hidup dan rawatannya kerana masih belum menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak bertanggungjawab. 

Seorang lagi pengemis, Mohamed Shakir, 40, pula berkata JKM tidak memberi sebarang bantuan kepadanya atas alasan fizikalnya yang sempurna dan tidak berstatus OKU. 
 
"Walaupun saya tidak cacat tetapi saya ada masalah kesihatan dan tidak mampu dapat sebarang pekerjaan.
 
"Pihak majikan tidak mahu mengambil saya bekerja kerana latar belakang kesihatan saya yang pernah mengalami 'sakit jiwa' beberapa tahun lalu," katanya.

Katanya JKM sepatutnya tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan OKU sahaja, tapi perlu memantau lebih luas kepada golongan kurang bernasib baik yang lain seperti gelandangan yang mempunyai masalah kesihatan dan disisihkan keluarga serta masyarakat.

Sementara itu, seorang OKU, warga Myammar, dikenali sebagai Abedah, 58, berkata beliau tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
 
"Saya berada di Malaysia selama hampir 20 tahun, dan sudah 12 tahun tidak dapat bekerja kerana menghidap kencing manis dan terpaksa dipotong sebelah tangan. 
 
"Oleh itu, bagi menampung kehidupan saya dan anak saya yang juga OKU, saya terpaksa mengemis di jalanan dengan mengharapkan simpati orang ramai," katanya.

elaun sara diri , JKM

Artikel Sebelum

Lelaki Britain Hilang Ditemui

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

Artikel Lain