suria

Muhyiddin Ucap takziah Buat Keluarga Sharifah Aini

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Biduanita Negara Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini yang meninggal dunia awal Sabtu.

Muhyiddin menyifatkan pemergian Sharifah Aini atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Pah sebagai satu kehilangan yang tiada pengganti dan berharap keluarganya sabar menghadapi berita sedih itu.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan orang-orang yang beriman. al-Fatihah," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini pada Sabtu.

Ucapan takziah untuk keluarga Allahyarhamah turut disampaikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Salam takziah buat keluarga Biduanita Negara Kak Pah. Jasa besar dalam dunia seni tanah air. al-Fatihah," Hishammuddin berkata menerusi twit terbaru di laman sosial Twitternya.

Sharifah Aini yang menyambut hari lahir ke-61 pada Rabu lepas, meninggal dunia kira-kira pukul 1.26 pagi ini di sebuah hospital swasta di Damansara, di sini kerana jangkitan paru-paru.

Allahyarhamah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Pakar Damansara sejak Selasa lalu setelah menghadapi kesukaran untuk bernafas.


Artikel Lain