suria

Kedah Harap Kajian Kebolehlaksanaan Lapangan Terbang Dipercepat

JERLUN: Kerajaan negeri Kedah berharap satu kajian kebolehlaksanaan berhubung hasrat kerajaan negeri untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim dapat dilakukan secepat mungkin.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata beliau telah mencadangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar baru-baru ini supaya kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk melaksanakan kajian itu.

Katanya cadangan kerajaan negeri untuk membina lapangan terbang itu adalah berdasarkan input daripada Makmal Transformasi Kedah pada September tahun lalu, di mana pihak yang memberikan input terbabit mewakili pihak berkepentingan seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan pihak industri.

"Sebab itu kita yakin (untuk mencadangkan pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu) tetapi kajian kebolehlaksanaan tetap perlu dilakukan. Yang asas dah ada cuma nak perinci data-data sama ada menyokong atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Parlimen Jerlun di Surau Kuala Jerlun di sini malam Jumaat.

Katanya kajian itu adalah untuk memudahkan cara memproses keputusan yang akan dibuat di peringkat Persekutuan kerana ia melibatkan banyak kementerian seperti Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan serta Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.

Baru-baru ini, Mukhriz berkata cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di atas sebidang tanah seluas kira-kira 600 hektar di Kulim telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dilihat akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di utara tanah air.

Beliau dilaporkan berkata kerajaan negeri mendapati terdapat permintaan bagi pengangkutan udara disebabkan kemudahan di lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang semakin terhad manakala keperluan kargo serta penumpang di masa depan pula bertambah.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam reaksinya berkata cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina lapangan terbang itu tidak sesuai dari segi ekonomi atau mempunyai justifikasi.

Lim berkata lokasi di Kulim menimbulkan banyak persoalan memandangkan ia begitu hampir dengan Pulau Pinang, tambahan pula Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu di Langkawi dan Alor Setar.

Mengulas reaksi Lim itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya melihat kepada kekangan yang dihadapi mereka dan cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu juga boleh dilihat sebagai satu penyelesaian yang dapat digunakan oleh Pulau Pinang.

"Ia satu cadangan untuk jadi pelengkap kepada apa yang wujud di Pulau Pinang. Saya difahamkan kerajaan Pulau Pinang mahu beri penekanan kepada sektor perkhidmatan. Ini sektor yang beri pulangan tinggi tetapi tidak perlukan industri yang besar dan perlukan kargo, lebih kepada penumpang. Ini (lapangan terbang baharu) adalah apa yang diaspirasikan oleh Pulau Pinang.

"Kalau tengok FDI (pelaburan langsung asing), untuk industri berat memang pelabuhan diperlukan. Kalau perkhidmatan tak perlu, yang diperlukan lapangan terbang untuk penumpang," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata beliau telah memberi arahan kepada semua pejabat daerah supaya bekerjasama dengan polis jika didapati ada premis hiburan khususnya pusat internet yang melanggar syarat lesen dan terbabit dengan judi haram.

"Tindakan tegas perlu dilakukan. Saya terima aduan mengenai kegiatan ini di Sungai Petani, Alor Setar dan Kulim. Kita tahu mengenai kegiatan ini, cuma nak cari cara tangkap sewaktu mereka beroperasi," katanya.


Kedah

Artikel Berikut

Artikel Lain