suria

Pengendali Bas Sekolah Bawah 25 Tahun Boleh Mohon Skim Ganti Bas Sekolah

KUALA LUMPUR: Pengendali bas sekolah yang mempunyai bas berusia bawah 25 tahun kini boleh memohon untuk menyertai Skim Penggantian Bas Sekolah yang sebelum ini hanya dibuka bagi bas sekolah berusia lebih 25 tahun.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan berkata penambahbaikan skim itu dibuat dengan persetujuan Kementerian Kewangan bertujuan mempertingkat mutu dan perkhidmatan bas sekolah demi menjamin keselamatan pelajar.

Dilaksanakan SPAD sejak awal 2013, skim subsidi itu merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban pengendali dengan bantuan rebat RM10,000 bagi setiap pemohon dan bayaran kadar faedah tetap dua peratus setahun.

Bagi mendapatkan kelulusan khas ini, pengendali perlu mengemukakan laporan gagal pemeriksaaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) semasa memohon ubah syarat penggantian kenderaan di mana-mana pejabat Wilayah dan Negeri SPAD, kata kenyataan itu.

"Untuk menjayakan program ini, kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi membantu pengendali dalam memastikan keadaan bas sekolah selesa dan selamat," kata SPAD.

Bagaimanapun, kelulusan pinjaman pembiayaan kenderaan ini terletak di bawah bidang kuasa Bank Simpanan Nasional (BSN), menurut kenyataan itu.

Pengendali yang berminat boleh mengunjungi mana-mana pejabat negeri SPAD dan BSN untuk maklumat lanjut.
SPAD, bas sekolah

Artikel Lain