suria

Pelantikan MCA, Gerakan Dalam Kabinet Tidak Bebankan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Pelantikan lima pemimpin MCA dan seorang daripada parti Gerakan ke dalam kabinet tidak membebankan kewangan kerajaan kerana belanjawan sudah diatur dengan baik, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata dalam tempoh singkat, atau kurang enam tahun sahaja lagi untuk Malaysia berstatus negara maju, pelantikan mereka sebenarnya amat perlu.

"Jangan kita bandingkan negara kita dengan negara lain sebab negara lain keperluannya berbeza.

" ...Jadi, dalam tempoh lima atau enam tahun ini ialah tempoh yang cukup penting untuk kita meneruskan usaha bagi melonjakkan pertumbuhan dan pengagihan ekonomi yang stabil dan saksama kepada semua," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran pemilik butik Bianco Mimosa Datuk Ida Suraya Mustapha di sini, Ahad malam.

Beberapa pihak sebelum ini mempersoal tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu melantik pemimpin berkenaan ke dalam kabinet yang didakwa membebankan kewangan kerajaan.

Najib mengumumkan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik Menteri Pengangkutan dan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong serta Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Turut dinamakan ialah tiga naib presiden MCA iaitu Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan serta Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mengulas pelantikan Chua, Ahmad berkata ia adalah tambahan yang baik memandangkan pengalaman pemimpin itu sebelum ini yang menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru syarikat kecil dan besar di seluruh negara mengikut jejak langkah Ida Suraya, menyumbang sebahagian keuntungan syarikat kepada kebajikan ibu tunggal, anak yatim serta fakir.

Terdahulu, Ahmad menyerahkan sumbangan Ida Suraya kepada 150 penghuni Rumah Anak Yatim Ar-Rahmaniah, Rawang.
MCA, Kabinet

Artikel Sebelum

Artikel Lain