suria

MBSA Tolak Permohonan Permit Bazar Halang Laluan

Tapak bazar yang tidak mengganggu lalu lintas sahaja dibenarkan.
SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak akan mengeluarkan permit perniagaan jika tapak bazar didirikan di kawasan yang mengganggu laluan orang awam.


Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohtar Hani berkata, kawasan tempat letak kereta, laluan pejalan kaki dan trek basikal adalah antara yang tidak dibenarkan.

Berikutan itu, katanya, MBSA menolak permohonan permit bazar Ramadan kepada kira-kira 50 penjaja kerana tapak perniagaan mereka menghalang laluan.

"Tiga hal itu menyebabkan permohonan permit perniagaan penjaja ditolak. Mereka mahu buka bazar di Plaza Perangsang dan tapak bazar yang mahu dibuka itu berada di kawasan yang dilarang," katanya.

Terdahulu, kumpulan penjaja terbabit menghantar memorandum kepada MBSA bagi meminta penjelasan ekoran permohonan permit bazar Ramadan mereka ditolak. 

Mohtar menegaskan peraturan itu sepatutnya dipatuhi penjaja kerana MBSA tidak mahu sebarang insiden tidak diingini berlaku membabitkan orang awam dan penjaja. 

Sementara itu, wakil penjaja Abdul Karim Jantan berkata, pihaknya mahu MBSA memberi kelonggaran kepada penjaja untuk berniaga pada bulan Ramadan. 

MBSA, bazar, penjaja

Artikel Lain