suria

SPRM P.Pinang Buat 11 Tangkapan Berkaitan Rasuah Sehingga Jun

Gambar hiasan.
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menerima 170 maklumat berkaitan rasuah dan melakukan 11 tangkapan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Pengarah SPRM negeri Datuk M. Samarajoo.

Beliau berkata daripada 11 tangkapan itu, enam orang adalah penjawat awam daripada kumpulan sokongan manakala selebihnya sektor swasta dan orang awam.

Katanya tiada pegawai tinggi kerajaan di negeri ini ditahan setakat ini.

"Daripada 170 maklumat, 34 peratus atau 58 maklumat disiasat. Bakinya diambil tindakan bukan siasatan maknanya maklumat itu dirujuk kepada agensi-agensi berkenaan ataupun dirujuk kepada penulis maklumat atau tiada tindakan diambil.

"Lebih kurang 40 maklumat tidak diambil tindakan kerana tidak ada kesalahan yang boleh disabitkan di bawah Akta SPRM," katanya kepada pemberita selepas program 'Perbicaraan Eksekutif Pulau Pinang' bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri, di sini Sabtu.

Samarajoo berkata kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah menerima dan memberi rasuah.

Sementara itu, Samarajoo berkata NGO boleh menjadi perantara untuk mendekati masyarakat dan menyebarkan mesej antirasuah kepada masyarakat.

"Saya berharap mereka boleh menjadi agen perubahan dengan membawa lebih banyak program kesedaran kepada masyarakat dan memerangi rasuah. Pada masa sama, mereka juga perlu mempunyai integriti yang tinggi," katanya.


rasuah, SPRM, M. Samarajoo

Artikel Lain