suria

Polis Kedah Kawal Ketat Sempadan Elak Penyeludupan Mercun

ALOR SETAR: Polis Kedah akan mempertingkatkan kawalan di kawasan sempadan negeri ini bagi membendung aktiviti penyeludupan mercun terutamanya ketika menjelang Ramadan dan Syawal.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata kawalan ketat telah dilakukan di pintu sempadan selain penambahan bilangan anggota polis kerana aktiviti penyeludupan mercun ini lazimnya meningkat menjelang pertengahan Ramadan.

"Perkara ini memang sudah biasa berlaku. Kita sedia tahu kawasan sempadan luas bermula dari Kelantan hingga ke Perlis dan Kedah pula bersempadan dengan negara Thailand jadi mereka akan cuba membawa masuk dan keluar barang haram seperti mercun.

"Kita akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan berkaitan bagi membanteras sebarang jenayah daripada berlaku di sekitar pintu sempadan. Selain itu, kita juga akan mengadakan Ops Bersepadu dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Sementara itu, Ahmad berkata anggotanya sentiasa membuat pemantauan sepanjang musim Piala Dunia 2014 ini bagi mengelak premis-premis daripada menjalankan kegiatan judi bola sepak.

"Kita sentiasa lakukan pantauan dan serbuan tetapi kadang-kadang premis ini akan mencari jalan untuk menjalankan aktiviti haram ini di tempat lain, jadi kita tidak dapat membanteras 100 peratus tetapi kita sama sekali tidak akan membiarkan perkara ini berleluasa.

"Boleh dikatakan hampir setiap hari anggota saya menjalankan serbuan dan berjaya membuat rampasan dan tangkapan melibatkan perjudian Internet dan mesin," katanya.

Katanya tumpuan lebih akan diberikan kepada kawasan panas seperti di daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim dan Langkawi.


Mercun, Polis, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain