suria

Usul Gantung MP Padang Serai 6 Bulan Dibentang Khamis

Surendran
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membawa usul bagi melanjutkan tempoh penggantungan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran kepada enam bulan kerana menghina Speaker Dewan Rakyat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dijangka membentangkan usul tersebut di Dewan Rakyat pada pagi Khamis.

Menerusi penyataan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) itu, Surendran dicadang supaya digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat selama enam bulan dari tarikh keputusan usul diluluskan.

Surendran dituduh melakukan kesalahan menghina Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di lobi bangunan Parlimen pada Isnin lalu selepas usulnya di bawah Peraturan Mesyuarat 22(1) ditolak.

"Bahawa Yang Berhormat Padang Serai merendah-rendahkan martabat Dewan Rakyat dengan sindiran yang mencadangkan Parlimen untuk membina 'giant rubber stamp' yang menjadi simbol kepada pengaruh dan kuasa kerajaan dalam meluluskan apa-apa Rang Undang-Undang yang dibentangkan di Parlimen.

"Dan bahawa tuduhan-tuduhan itu adalah satu penghinaan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang menjalankan tugas sebagai Pengerusi Majlis Mesyuarat.

"Oleh yang demikian bererti penghinaan juga kepada dewan Rakyat yang turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat," kata penyataan usul yang diberikan kepada media lewat petang Rabu.

Pada Rabu, Surendran dan seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang, Fuziah Salleh digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana menghina Speaker.

Tempoh penggantungan itu akan berakhir esok (Khamis).

Sebelum ini pada sesi persidangan Oktober tahun lalu, Surendran yang merupakan Ahli Parlimen penggal pertama pernah digantung selama enam bulan kerana menghina Speaker.

Artikel Lain