suria

Segera Perjelaskan Bidang Kuasa Mais, Jais - Dr Asri

Dr Asri
KUALA LUMPUR: Kegagalan kerajaan Selangor menguruskan bidang kuasa antara dua entiti yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam adalah punca berlakunya konflik agama di negeri itu.


Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat seharusnya membezakan bidang kuasa antara Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi mengembalikan kuasa kepada Menteri Besar.

Jelas Asri, kedudukan Jais sebagai agensi penguatkuasa agama seharusnya berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri serta bertanggungjawab terhadap Menteri Besar sebagai Ketua Eksekutif.

"Ada kerumitan tentang Jais sebenarnya bertanggungjawab kepada siapa dan sejauh mana bidang kuasa kerajaan negeri.

"Pertimbangkan semula mengenai apa bidang kuasa kerajaan negeri dengan Jais. Sekarang ini kita nampak Menteri Besar macam tidak boleh buat apa-apa," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Tambah Asri, situasi di Selangor memperlihatkan polisi kerajaan negeri gagal dicerminkan oleh Jais kerana agensi itu bertanggungjawab kepada Mais.

Mais ditubuhkan di bawah Seksyen 5, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1952 yang bertujuan menasihatkan Sultan Selangor dalam hal ehwal Islam dan adat Melayu.

Konflik agama di Selangor, terutamanya membabitkan Islam dan Kristian timbul apabila Jais merampas 321 kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara awal tahun lalu.

Bagaimanapun Khamis lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan mengarahkan Jais yang berada di bawah Mais memulangkan semua bible yang dirampas itu.

Arahan itu dibuat berikutan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes rampasan Bible dan kes itu ditutup.

Bagaimanapun, Mais mengeluarkan kenyataan enggan memulangkan bible berkenaan kerana yakin terdapat klausa dalam Enakmen Agama Bukan Islam 1988 yang membolehkan kes itu di bawa ke mahkamah.

Mengulas lanjut, Asri berkata, konflik yang sama akan berulang jika kerajaan negeri tidak melakukan pengasingan kuasa antara Mais dan Jais.

"Konflik akan berterusan selagi mereka tidak terjemahkan kuasa mereka (Mais dan Jais).

"Kerajaan negeri Selangor perlu kembali memperbetulkan bidang kuasa mereka," katanya.


Selangor, Mais, Jais

Artikel Lain