suria

Penculikan Di Sabah Jejas Pelancongan Berbanding Tragedi MH370

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui insiden penculikan yang berlaku di Sabah menjejaskan sektor perlancongan negara khususnya membabitkan kemasukan pelancong dari China berbanding tragedi kehilangan pesawat MH370.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sebanyak 76 penerbangan dari China ke Kota Kinabalu dibatalkan baru-baru ini selepas insiden penculikan warga negara itu berlaku di Sabah.

Menurut Mohamed Nazri, sebanyak 10 penerbangan berjadual dari Shanghai ke Kota Kinabalu telah dibatalkan oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sehingga kini.

"Selain itu terdapat juga 22 pembatalan penerbangan berjadual dari Shenzhen ke Kota Kinabalu oleh China Southern Airlines serta 44 penerbangan sewa khas dari Shanghai ke Kota Kibnabalu oleh syarikat tambang murah Spring Airlines," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang bertanya sama ada insiden penculikan di Sabah menjejaskan kemasukan pelancong ke Malaysia.

Insiden penculikan di Sabah semakin membimbangkan, malah hari ini, dua lagi insiden penculikan dilaporkan berlaku di Kunak, Tawau.

April lalu, insiden penculikan di Semporna berulang selepas pelancong dikenali sebagai Gao Hua Yun, 29, dari Shanghai, China dan pekerja Filipina, Marcy Dayawan @ Mimi dibawa lari dari Singamata Reef Resort.

Bagaimanapun, warga China tersebut dibebaskan sebulan kemudiaan.

Kejadian terbaru ini mengulangi insiden yang berlaku tahun lepas dimana dua kes penculikan membabitkan nelayan di atas bot mereka pada April dan pada November pula, pelancong Taiwan diculik dari Pulau Pom-Pom.

Sabah, Kunak

Artikel Berikut

Artikel Lain