suria

Pelajar Malaysia Kemalangan Di Mesir Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Pelajar jurusan pergigian yang terbabit dalam kemalangan di Mesir awal bulan ini dilaporkan meninggal dunia.

Laman Facebook Media Perubatan (Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (Perubatan), melaporkan bahawa Ummi Nadiah Filzah Daud meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Miri Iskandariah, Mesir, pada Ahad.
 

"Semoga roh Allahyarhamah Ummi Nadiah Filzah Daud ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang dicucuri rahmat oleh Allah. Insya-Allah," menurut posting Facebook itu.

 Enam pelajar Malaysia dari Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah dilaporkan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Borg El, Mesir, awal bulan ini.
 
Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan itu berlaku selepas pemandu van melanggar bahagian belakang sebuah lori, menyebabkan van dinaiki pelajar terbabit berpusing beberapa kali.
 
Perlanggaran itu menyebabkan pintu van tercabut dan kesemua enam pelajar perubatan itu tercampak ke luar.
 
Semua mangsa dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air.
pelajar Mesir, kemalangan

Artikel Lain