suria

Tiada Kompromi Majikan Langgar Akta Umur Persaraan Minimum

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang melanggar Akta Umur Persaraan Minimum 2012 sebagai persediaan negara menghadapi status negara tua menjelang 2030.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata perkara itu penting memandangkan kajian mendapati status hutang pekerja menjelang umur persaraan adalah tinggi.

"Akta ini membantu meningkatkan jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP). Empat belas peratus pesara kehabisan simpanan dalam masa tiga tahun. Lima puluh peratus dalam masa lima tahun, sementara 70 peratus dalam masa 10 tahun", katanya.

Akta memperuntukkan seseorang majikan tidak boleh membersarakan secara pramasa seseorang pekerja sebelum mencapai umur persaraan minimum 60 tahun.

Beliau menjawab soalan tambahan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) dalam sidang Dewan Rakyat yang bertanyakan usaha kementerian menyelesaikan masalah hutang yang tinggi dalam kalangan pesara swasta.

Beliau yang juga anggota Parlimen Maran berkata majikan yang melanggar akta berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 dan sehingga kini hanya sembilan aduan diterima sejak dilaksanakan 1 Jan lepas.

Beliau menambah, akta itu juga penting bagi memastikan mereka yang mempunyai kemahiran terus menyumbang kepada sasaran 50 peratus tenaga kerja mahir menjelang negara mencapai status negara maju pada tahun 2020.

Selain itu, peningkatan jangka hayat penduduk negara ini memerlukan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan itu.

"Purata jangka hayat lelaki di Malaysia adalah 70 tahun, sementara 77 tahun bagi wanita," katanya.

Beliau juga menggesa individu yang diberhentikan sebelum mencapai umur 60 tahun agar mengemukakan aduan kepada kementeriannya.


Dewan Rakyat

Artikel Lain