suria

Syarikat Perkhidmatan Lori Ulang Kesalahan 39 Kali - SPAD

PUCHONG: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengesan sebuah syarikat perkhidmatan lori yang degil dan tidak menghormati peraturan apabila mengulangi 39 kesalahan membabitkan kenderaan itu.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, kedegilan syarikat yang beroperasi di Lembah Klang itu dikesan menerusi operasi membanteras lori lebih muatan menerusi Ops Hippo yang dilancarkan sejak Jun 2011.

"Kita (SPAD) turut merekodkan kesalahan lori mengikut syarikat kerana mereka yang mengendalikan lori-lori berkenaan.

"Ada satu syarikat pula... kesalahannya sampai 39 kes berulang. Ada juga syarikat yang melakukan 16 kesalahan" katanya kepada para pemberita pada Ops Hippo di Taman Meranti Jaya dekat sini, Jumaat.

Che Hasni berkata, selain itu SPAD juga mempunyai senarai syarikat pengendali lori yang melakukan lima kesalahan dan ke atas.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara lanjut mengenai senarai syarikat serta bilangan kesalahan yang dilakukan.

Ditanya apakah tindakan terhadap syarikat-syarikat yang didapati mengulangi kesalahan Che Hasni berkata, SPAD akan mengenakan tindakan pentadbiran seperti penggantungan dan pembatalan lesen.

Tambahnya, tiada penetapan bilangan kesalahan untuk dikenakan tindakan tetapi lebih menumpukan tahap keseriusan kesalahan itu.

"Penggantungan atau pembatalan lesen akan dilihat berdasarkan kes. Kalau hanya satu lori pun tetapi kalau langgar orang sehingga membawa maut, kita akan gantung," katanya sambil menambah bahawa terdapat syarikat pengendali lori yang digantung dan dibatalkan lesennya kerana melakukan kesalahan.

Menurut Che Hasni, kesemua lori yang melakukan kesalahan akan didakwa mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang membawa kepada denda tidak kurang RM1,000 hingga maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sehubungan itu, saya menasihatkan pengusaha lori termasuk pemandu supaya lebih bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya yang lain di samping tidak merosakkan jalan-jalan," katanya.

SPAD

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain