suria

Kes Bunuh Pengasas Ambank: 'Sudah Selesai' Kata Penarik Kereta

KUALA LUMPUR: 'Sudah selesai' atau 'gao dim' dalam bahasa Kantonis, adalah ungkapan penarik kereta Koong Swee Kwan sebaik menaiki teksi yang menunggunya di luar kawasan tokong, tempat pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi dibunuh, tahun lepas.

Pemandu teksi itu Chew Siang Chee, 45, memberitahu Mahkamah Tinggi pada Jumaat, beliau tidak memahami mengapa lelaki itu, yang juga dikenalinya sebagai 'Ah Kwan' berkata demikian sebelum mengarahkannya memandu teksi dengan lebih laju.

"Lepas cakap 'gao dim', dia (Koong) tidak cakap apa-apa lagi cuma suruh saya pandu lebih laju," katanya, yang sudah lama mengenali Koong.

Chew berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes Koong, 45, yang didakwa membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Kuan Yin di No.4 Lorong Ceylon, di sini antara 1.30 tengah hari hingga 2 petang pada 29 Julai, 2013.

Koong juga didakwa cuba membunuh isteri Hussain, Cheong Mei Kuen, 49, di tempat dan pada waktu sama.

Chew, yang merupakan saksi ke-17, memberitahu mahkamah bahawa sebelum itu, beliau ada mendengar bunyi letupan seperti mercun sebanyak dua kali ketika sedang mencuci teksinya di luar kawasan tokong sebelum melihat orang ramai melarikan diri.

Katanya, selepas mendengar bunyi mercun itu, beliau mahu bergerak meninggalkan kawasan tokong berkenaan, namun terdengar bunyi ketukan di bonet dan ternampak Koong sebelum memberhentikan teksinya.

"Ah Kwan (Koong) kemudian meluru masuk ke dalam kereta melalui tempat duduk penumpang depan sambil menyorokkan tangannya. Dia bernafas laju, macam berlari," katanya, yang kemudian menurunkan Koong di kawasan berbukit di Jalan Changkat Bukit Bintang, di sini.

Chew berkata, pada sebelah petang hari kejadian, ketika sedang menunggu penumpang di Bukit Jalil, beliau menjumpai satu magazin peluru di tepi tempat duduk penumpang depan sebelum menghubungi Koong.

Katanya, Koong kemudian datang menemuinya untuk mengambil magazin peluru itu dan menyuruhnya membuat laporan polis berhubung penemuan magazin itu.

Bagaimanapun, Chew berkata, beliau tidak membuat laporan polis kerana mahu mencari pemilik magazin itu.

Terdahulu, Chew berkata, beliau datang ke tokong itu selepas menerima panggilan telefon daripada Koong yang memintanya untuk menunggu di situ (tempat kejadian).

Chew, kini sedang menjalani hukuman penjara 14 tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah memiliki pistol dan peluru hidup.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Ananthan Rajoo memberitahu mahkamah bahawa seramai enam daripada 11 saksi awam yang dipanggil untuk membuat pengecaman, telah mengecam Koong sebagai individu yang melepaskan tembakan di tokong berkenaan.

Ananthan, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, berkata pengecaman itu dilakukan semasa kawad cam di IPD Dang Wangi pada 26 September 2013.

"Semasa kawad cam itu, isteri Koong, Yap Pook Ling turut hadir sebagai pemerhati," katanya, yang memaklumkan Koong diserahkan kepadanya, pada 23 September 2013.

Ketika pemeriksaan balas Wan Shaharuddin, Ananthan yang merupakan saksi ke-16, berkata, individu yang dilihat mundar-mandir di kawasan tokong dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) adalah sama dengan orang yang kena tangkap (tertuduh).

"Dari apa yang saya lihat di tempat kejadian dan rakaman percakapan saksi, saya mengenal pasti orang yang berkeliaran di dalam kawasan tokong iaitu rupa yang dirakam CCTV adalah sama dengan orang yang kena tangkap.

"Semasa mangsa (Hussain) dan isterinya keluar dari tokong, dengan jelas orang ini (Koong) mengekori," katanya ketika ditanya mengapa Ananthan tidak bersetuju dengan cadangan peguam Zamri Idrus, yang mewakili Koong, mengenai imej individu lain, yang dilihat dalam rakaman CCTV, turut terlibat dalam kejadian itu.

Selepas mendengar keterangan 17 saksi di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin, pihak pendakwa menutup kesnya pada Jumaat.

Mahkamah menetapkan 17 Jun untuk hujahan dan keputusan.


AmBank, gao dim, Mahkamah Tinggi

Artikel Lain