suria

Stor Perodua Melaka Terbakar, 19 Kereta Musnah

Gambar Hiasan.
MELAKA: Sebanyak 19 kereta yang ditempatkan di stor Perodua musnah dalam satu kebakaran di Jalan Mufti Hj Khalil Bukit Palah di sini, petang Ahad.

Timbalan Penguasa Bomba Bahagian Operasi negeri Melaka, Kamarulzaman Mohd Din berkata, kebakaran pada 6.40 petang itu membabitkan 12 kereta jenis Perodua Viva dan sebuah kereta MyVi baharu serta enam kereta terpakai pelbagai jenama.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan melalui perkhidmatan Sistem Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 pada 6.54 petang dan tiba di lokasi 11 minit kemudian dengan empat jentera bersama 19 anggota dari balai bomba Kubu dan Bukit Katil.

"Ketika bomba tiba, api dalam keadaan marak dipercayai berpunca daripada sebuah kereta terpakai," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya pihaknya menghadapi sedikit kesukaran memadam api daripada merebak ke kenderaan lain disebabkan susunan kereta yang ditempatkan di stor terbabit terlalu rapat.

Kamarulzaman berkata, stor berkenaan menyimpan lebih 200 kenderaan baharu dan terpakai.

Bagaimanapun, katanya. api berjaya dikawal pada 7.15 malam dan padam sepenuhnya 10 minit kemudian dengan kira-kira 185 kenderaan baharu berjaya diselamatkan daripada dijilat api.

Punca sebenar dan nilai kerugian masih dalam siasatan, katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain