suria

36 Kilang Pembungkusan Minyak Masak Di Utara Dipantau KPDNKK

PETALING JAYA: Sebanyak 36 kilang pembungkusan minyak masak di utara Semenanjung dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan barangan keperluan itu mencukupi di pasaran.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 233 kilang pembungkusan minyak masak di seluruh negara berikutan terdapat aduan daripada pengguna.

“Kita memantau kilang pembungkusan minyak kerana berdasarkan maklumat yang diterima, mereka dipercayai membuat pengurangan bekalan kepada pemborong sehingga menjejaskan keperluan pengguna.

“Tumpuan diberikan kepada pengilang di utara Semenanjung berikutan terdapat laporan mengenai kekurangan bekalan itu di kawasan berkenaan baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Dilaporkan berlakunya masalah kekurangan bekalan minyak masak di beberapa negeri sekali gus membimbangkan golongan peniaga dan pengguna menjelang Ramadan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini belum ada laporan yang menyatakan pengilang mengehadkan jualan minyak masak kepada pemborong.

Ditanya kemungkinan pengilang minyak masak di utara mengurangkan bekalan, Iskandar berkata, ini kerana barang kawalan itu akan dijual kepada pasaran luar.

Tambahnya, pengilang-pengilang minyak masak di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis terletak berdekatan sempadan negara jiran seperti Thailand.

“Terdapat permintaan minyak masak yang tinggi di negara jiran, memungkinkan mereka untuk bertindak mengurangkan bekalan di pasaran tempatan,” katanya.

Menurut Iskandar, selain kilang pembungkusan minyak masak, pemantauan turut dilaksanakan terhadap 21 kilang memproses minyak sawit di seluruh negara termasuk lima di utara.

Dalam pada itu, KPDNKK turut mempergiatkan pemantauan terhadap barang kawalan seperti minyak masak sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

“Kita akan mempergiatkan operasi pemantauan setiap hari sepanjang tempoh itu. Kita tidak mahu ada pengilang yang mengehadkan jualan kepada pemborong sehingga menjejaskan keperluan pengguna,” kata Iskandar.

KPDNKK sedang berusaha mendapatkan persetujuan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bagi menambah 10 peratus lagi kuota bagi bekalan minyak masak bagi mengatasi isu kekurangan bekalan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Luyang Sertai MCA

Artikel Lain